Saturday, December 6, 2008

Ziana Zain dalam Drama Tetamu Allah



"Hidup di dunia pasti ada penyudahnya. Bersiap sedialah menuju ke alam akhirat di mana perbuatan baikdan buruk akan ditimbang dengan seadilnya".


Wahh....MelodiLara tak sabar rasa nak tengok drama lakonan Ziana Zain... Dengar-dengar lakonan Kak Ziana sangat mantap. Fahrin Ahmad dan Vanida Imran pun turut berlakon. Drama ini akan ditayangkan pada 8 Disember 2008 di tv2 sempena Hari Raya Aidil Adha esok. Mintak-mintak sempatla tengok drama ni.


Drama Tetamu Allah:

Tetamu Allah disiarkan khas sempena Aidiladha pada 08 Disember 2008 (Isnin), jam 10.05 pagi menerusi RTM2 turut dibintangi pelakon Mohd Baitich, Fahrin Ahmad, Vanida Imran dan Khatijah Tan yang pastinya mengundang keinsafan kepada penonton dengan garapan plot cerita yang mantap.


Tetamu Allah mengajak penonton menghayati kisah Juliana, 39, bekas seorang pramugari. Ketika muda Juliana agak sosial dan hanya mahu berkawan dengan lelaki Inggeris sahaja. Buat Juliana lelaki melayu bukanlah kelas dia.


Sehinggalah pada usia 25 tahun, Juliana mengakhiri zaman bujangnya bersama lelaki pilihannya iaitu Micheal dari Switzerland. Perkahwinan mereka sama sekali tidak menunjukan apa-apa perubahan kepada Micheal mahupun Juliana yang sesungguhnya tidak langsung mampu membimbing Micheal menjadi seorang muslim yang baik.


Rumah mereka selalu mengadakan parti dengan minuman keras dan pergaulan bebas. Micheal tidak pernah diajar selok belok tentang Islam terutamanya bab solat dan fardhu ain. Juliana juga mengambil pil perancang setelah 2 kali mengandung dan digugurkan kerana belum bersedia untuk mendapat anak kerana kononnya mahu menghabiskan masa mudanya dengan bersuka-ria.


Akhirnya apabila kali ketiga dia mengandung, Juliana berusaha menggugurkannya dengan memakan ubat dan adakalanya minum minuman keras tetapi anak itu tidak berjaya digugurkan. Doktor juga menasihatinya supaya tidak melalui proses pengguguran itu kerana ianya boleh membawa maut memandangkan usia kandungan sudah masuk 5 bulan dan keadaan Juliana yang tidak berapa sihat. Akhirnya, Juliana selamat melahirkan anak yang dikandungnya tetapi anak itu cacat. Kelahiran anak itu memberi satu tamparan yang amat luarbiasa kepada Juliana.


Pada ketika itu Jualiana terbuka hati untuk mengerjakan umrah. Juliana bersama rombongan jemaah yang mengerjakan umrah sempena bulan puasa baru sahaja sampai ke Madinah. Sebaik sahaja kumpulan jemaah ini turun dari bas, Juliana jatuh pengsan. Riuh rendah suasana di situ yang panik dengan kejadian yang tiba-tiba menimpa Juliana itu. Ketua rombongan Encik Alwi menyarankan supaya Juliana dibawa ke hospital dengan segera. Doktor masih tidak dapat mengesan penyakit Juliana yang kini sudah hampir 2 hari koma. Alwi setia menunggu dan menziarah Juliana. Tiba-tiba setelah 4 hari koma, Juliana terjaga dan dia berada di dalam ketakutan yang amat sangat. Juliana menceritakan bagaimana dia berada di alam lain ketika koma itu.


Sebaik benar-benar pulih dari fobianya, Juliana banyak menghabiskan masanya di hadapan kaabah dan juga di dalam masjid memohon keampunan dari tuhan atas segala dosa-dosanya sebelum ini. Juliana begitu bersyukur kerana ALLAH telah memberinya peluang untuk hidup setelah dikomakan dan diberi merasai keazaban neraka.


Selesai mengerjakan umrah, Juliana nekad pulang dengan satu keazaman untuk membina hidup baru. Malangnya sekembali dia ke rumahnya, dia mendapati Kristina anaknya yang cacat itu telah dihantar oleh Micheal ke Rumah Kanak-Kanak Istimewa. Ini adalah kerana Micheal merasa malu dan tertekan sejak kehadiran Kristina di dalam rumah itu.


Micheal juga tidak dapat menerima perubahan pada diri Juliana yang agak mendadak sejak kebelakangan ini. Penampilan diri Juliana sudah cukup memualkan Micheal. Sejak Juliana mengambil keputusan untuk membina hidup baru, awal-awal lagi Micheal sudah membantah namun Juliana bertekad juga sehingga dia mengambil keputusan untuk mendapatkan hidayah dengan mengerjakan umrah.


Kepulangan Juliana dari Mekkah lebih mendukacitakan Micheal lebih-lebih lagi melihat Juliana sudah bertudung. Micheal masih mahukan kehidupan seperti dulu. Juliana dituduh wanita kolot dan dia tidak lagi mahu membawa Juliana keluar bersamanya terutamanya ke parti-parti sosial.


Alwi menasihatkan supaya Juliana harus bersabar dan terus berusaha andai mahu menyelamatkan rumahtangganya kembali ke jalan ALLAH. Alwi juga menyarankan supaya Juliana mesti bertanggungjawab keatas anaknya Kristina. Anak itu mesti berada dibawah jagaan Juliana dan buat sementara menunggu Micheal berubah, Alwi mencadangkan supaya Kristina diambil semula dan diletakkan sementara di bawah jagaannya. Juliana semakin akrab dengan Alwi dan isteri Alwi, Mai.


Dari Alwi dan Mai jugalah Juliana mendalami ilmu agamanya. Juliana cuba merapatkan Alwi dengan Micheal dengan harapan Alwi dapat merubah Micheal. Berjayakah usaha mereka untuk membimbing Micheal menuju ke jalan kebenaran? Mampukah mereka kembali membina keluarga bahagia menuju jalan Allah seperti yang diharapkan?


Untuk mengetahui kesudahan drama sarat pengajaran ini, jangan ketinggalan menyaksikan Tetamu Allah disiarkan khas sempena Aidiladha pada 08 Disember 2008 (Isnin), jam 10.05 pagi menerusi RTM2.




No comments: